Darjah Kebesaran.

Sultan Abu Bakar mengilhamkan dua darjah kebesaran pada tahun 1886 memenuhi dua tujuan. Pertama, Baginda menganggap pihak Inggeris bermuslihat menghadiahkan darjah kebesaran kepada Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan balasan menakluk negeri itu. Kedua baginda berhasrat memberi penghargaan kepada rakyat yang bersama-sama baginda memajukan negeri Johor.

Zahirnya dua darjah itu menjadikan negeri Johor negeri pertama ditanah Melayu mencipta nya, diikuti negeri-negeri lain 30 tahun kemudian. Ilham Sultan Abu Bakar merupakan satu inovasi memodenkan negeri Johor.

Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati

Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati diadakan dalam dua pangkat, iaitu D.K I dan D.K II seru bagi darjah yang dizahirkan pada 31 Julai 1886 ialah “Muafakat Itu Berkat”. Darjah ini tiada membawa gelaran, dan dikurniakan kepada kerabat damping, Raja-Raja Melayu dan pembesar Negara.

Darjah Kerabat Pangkat Pertama (D.K 1) mengandungi seutas kalung (collar) diperbuat daripada emas dan enamel berbentuk rantai yang berukir nama “Abu Bakar” dalam tulisan Jawi, dengan panji-panji Sultan di sebelah kanan dan Bendera Kerajaan (lambang kerajaan negeri) di sebelah kiri. Di atasnya merupakan Mahkota Kerajaan dan di bawahnya ditulis cogan kata tulisan jawi “Muafakat itu Berkat”. Sebiji bintang besar (breast badge) diperbuat daripada emas dan perak berbentuk bintang sembilan pecahan dengan diameter berukuran 90 mm, di tengahnya bulan sabit dengan tulisan Jawi “Kepada Allah Berserah”, di atasnya sebilah pedang bersilang dengan keris menjungjung mahkota, dan di kelilingi oleh enamel merah bertulis dalam huruf Jawi “Muafakat itu Berkat”.

Selain itu, sebuah bintang kecil (sash badge) berukuran 56 mm diameter sembilan pecahan beserta kain pita warna kuning emas dengan lebar 50 mm, dan kain selempang warna kuning emas dengan lebar 86 mm melengkapi darjah ini.

DK-I

Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K 1)

Darjah Kerabat Pangkat Kedua (D.K II) mengandungi sebuah bintang besar tujuh pecahan, berukuran diameter 78 mm, di tengahnya sama dengan bintang besar pangkat perama, dan bintang kecil (neck badge) dan kain pita berwarna kuning emas selebar 50 mm.

DK-II

Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (D.K II)

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia (The Most Honorable Order of the Crown of Johor) dizahirkan pada 31 Julai 1886, bersamaan 29 Syawal 1303 Hijrah dengan cogan kata “Kepada Allah Berserah” (Unto God Resigned). Cogan kata ini menunjukkan hasrat Sultan Abu Bakar mengutamakan ajaran Islam dan membuat sesuatu pekerjaan dengan ikhlas untuk Allah SWT.

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia mempunyai tiga pangkat. Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J) (Grand Commander) mengandungi seutas kalung (collar) diperbuat daripada emas dan enemel berbentuk rantai. Pada rantai ini terdapat enam lambang bulan dan bintang, serta berangkai dengan nama para sahabat Nabi Muhammad S.A.W., iaitu Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali yang diukir dalam tulisan Jawi. Di hadapan darjah tertera nama Nabi Muhammad S.A.W. kiri dan kanan dalam tulisan Jawi, disilangi dengan Cogan Agama di kiri dan Cogan Alam di kanan yang diapit ukiran dua ekor harimau. Di bahagian atasnya terukir lambang mahkota dan di bawahnya tertera cogan kata bertulisan Jawi “Kepada Allah Berserah”. Penulisan ini membuktikan pegangan Almarhum Sultan Abu Bakar kepada agama Islam.

Selain itu, bintang besar (breast badge) yang berukuran 90 mm, diperbuat daripada perak dengan lima pecahan berbentuk gelombang api, serta lambang bulan dan bintang emas di antara pecahan itu. Di bahagian tengah diukir dengan nama Nabi Muhammad S.A.W. bertulisan Jawi, manakala di bawahnya ada lambang mahkota yang di kelilingi enamel berwarna biru, dengan bahagian atasnya ditulis cogan kata bertulisan Jawi, “Kepada Allah Berserah”.

Bintang kecil (sash badge) diperbuat daripada perak mempunyai lima pecahan, beukuran 58 mm diameter. Kain selempangnya berwarna kuning dan berjalur biru di tengahnya, serta berukuran 86 mm lebar turut melengkapi darjah ini.

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua membawa gelaran Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J) (Commander) serupa dengan bintang besar pangkat pertama tetapi bulan bintangnya diperbuat daripada perak, serta satu bintang kecil (neck badge) berukuran 58 mm diamter dan kain pitanya berwarna kuning berjalur biru di tengahnya yang berukuran 50 mm lebar.

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, iaitu Setia Mahkota Johor (S.M.J) (Companion) mengandungi bintang kecil (breast badge) dengan pita (breast ribbon) kuning berjalur biru di tengahnya dan berukuran selebar 38 mm. Tiada gelaran bagi penerima darjah ini.

SPMJ

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama, Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (S.P.M.J.)

DPMJ

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Kedua, Dato’ Paduka Mahkota Johor (D.P.M.J)

SMJ.jpg

Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Ketiga, Setia Mahkota Johor (S.M.J)

Darjah Sultan Ismail Yang Amat Dihormati

Pada 28 Oktober 1974, Almarhum Sultan Ismail menzahirkan darjah Sultan Ismail Yang Amat Dihormati dengan seru “Taat dan Setia”. Darjah ini mengandungi tiga pangkat. Pangkat pertama Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J) membawa gelaran Dato’ (dan Datin Paduka bagi perempuan). Pangkat kedua Dato’ Setia Sultan Ismail membawa gelaran Dato’ (dan Datin Paduka bagi perempuan), manakala pangkat ketiga bintang Sultan Ismail (B.S.I) tiada gelaran.

SSIJ

Darjah Sultan Ismail Yang Amat Diberkati Pangkat Pertama Dato’ Sri Setia Sultan Ismail (S.S.I.J)

DSIJ

Bintang Darjah Sultan Ismail Yang Amat Diberkati (D.S.I.J)

BinSI E P

Bintang Sultan Ismail Pangkat 1 (Emas) & Bintang Sultan Ismail Pangkat 2 (Perak)

Pingat-Pingat

Pingat Sultan Abu Bakar

Merupakan satu-satunya pingat yang pertama dicipta di negeri-negeri Melayu dan dikurniakan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar pada tahun 1883 kepada individu yang dipilih. Asalnya, pingat ini dikurniakan sempena pertabalan Maharaja Abu Bakar sebagai Sultan bagi Negeri dan Jajahan Johor. Kemudian pingat ini dikurniakan kepada kalangan kerabat dan pembesar negeri Johor. Pingat ini tidak lagi dikurniakan kepada individu.

PSAB

Pingat Sultan Abu Bakar

Pingat Besi kerana Jasa dan Keberanian

Dikurniakan kepada mereka yang berani dan berjasa kepada kerajaan serta melaksanakan pekerjaan yang berbahaya dan mengancam nyawa. Pingat ini diadakan pada tahun 1894, dalam dua kategori pangkat. Pingat Besi kerana Jasa dan Keberanian (PB) Pangkat Pertama diperbuatkan daripada enamel dan dikurniakan bagi mengiktiraf keberanian seseorang individu. Pingat ini dikhaskan kepada individu yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan, tentera, sukarelawan, tentera laut, polis dan pegawai penjara.

Manakala, Pingat Besi kerana Jasa dan Keberanian (PB) Pangkat Kedua diperbuat daripada gangsa dan dikurniakan kepada seseorang individu kerana jasa dan keberanian seperti menyelamatkan jiwa orang lain atau seumpamanya. Pingat ini boleh dikurniakan kepada orang awam. Kedua-dua pingat ini sama taraf dengan The Iron Cross for Valour Inggeris. Pingat ini tidak lagi dikurniakan kepada mana-mana individu.

PBK

Pingat Besi I (P.B I) dan Pingat Besi II (P.B II)

Pingat Lama dan Jasa dalam Pekerjaan (P.J.P)

Mula diadakan pada tahun 1886 dikurniakan kepada pegawai dan anggota Askar Timbalan Setia Negeri, dan Johor Volunteer Forces (JVF) atas jasa baik dalam perkhidmatan.

PJP

Pingat Lama dan Jasa dalam Pekerjaan (P.J.P)

Pingat Lama dan Baik dalam Perkhidmatan (P.L.P)

Dikurniakan kepada pegawai kerajaan Johor yang telah berkhidmat dengan cemerlang melebihi 25 tahun dengan kerajaan Johor, berkelakuan baik, serta berjasa kepada raja, kerajaan dan negeri. Pingat ini mula dikurniakan pada tahun 1886 dan masih dikurniakan sehingga kini.

PLP

Pingat Lama dan Baik dalam Perkhidmatan (P.L.P)

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S)

Dizahirkan pada 17 September 1925, iaitu sempena genapnya 30 tahun Sultan Ibrahim memerintah negeri Johor. Pingat ini dizahirkan dalam tiga pangkat, iaitu Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Pertama (P.I.S. I) diperbuat daripada emas dan dikhaskan untuk kerabat diraja dan pembesar negeri dan negara. Manakala, Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Kedua (PIS II) diperbuat daripada perak dikurniakan kepada pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan berintegriti lebih 20 tahun dengan kerjaan Johor. Bagi ahli parti siasah, seseorang ahli itu disyaratkan berkhidmat sekurang-kurangnya sebagai ahli jawatankuasa di peringkat  cawangan atau bahagian selama tidak kurang 17 tahun. Seseorang itu, perlu berkelakuan baik dan memelihara maruah raja dan negeri.

Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga (P.I.S. III) diperbuat daripada gangsa adalah dikhaskan kepada  penjawat awam kumpulan sokongan dalam perkhidmatan kerajaan dan berkhidmat tidak kurang 17 tahun dengan baik dan jujur, dengan kerajaan Johor. Tatacara menggunakan singkatan pada nama bagi gelaran ini ditetapkan hanya penerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Pertama dan Kedua sahaja boleh meletakkan huruf ringkas “P.I.S” selepas nama mereka.

PIS I

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S I) Pangkat Pertama (Emas)

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II)

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S II) Pangkat Kedua (Perak)

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S III)

Pingat Ibrahim Sultan (P.I.S III) Pangkat Ketiga (Gangsa)