Darjah Kebesaran Baharu.

DARJAH SULTAN IBRAHIM JOHOR YANG AMAT DISANJUNGI

Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Yang DiPertuan bagi Negeri dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta’zim, Raja dan Kepala Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati, Raja dan Kepala Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia, Raja dan Kepala Darjah Sultan Ismail Johor Yang Amat Diberkati dengan kuasa-kuasa dan hak yang kelebihan diberikan dibawah Fasal 63 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1985 dan dengan syor persekutuan dan persetujuan Jumaah Majlis DiRaja memikirkan patut harus serta munasabah dengan masa dan zaman ini sebagai Raja itu mata air bagi segala kemuliaan dan kebesaran berkenan membuat menjadi dan mengadakan darjah berpangkat tinggi dan kenamaan dengan nama sebutannya “Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi” dengan serunya “Tawakal Kepada Allah” dizahirkan pada 30 Mac 2015 bersamaan 9 Jamadilakhir 1436 Hijrah.

Barang diberkati Allah akan Duli Yang Maha mulia Tuanku sebagai Raja dan Kepala Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi.

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi mempunyai tiga pangkat. Pangkat Pertama Dato’ Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ)  mengandungi seutas kalung (collar) diperbuat daripada emas. Pada kalung ini terdapat lambang Mahkota Sultan Johor, ukiran nama Ibrahim Ismail dengan tulisan Jawi, Jata Timbalan Setia Negeri Johor, serta berangkai dengan nama para sahabat Nabi Muhammad S.A.W., iaitu Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali yang diukir dalam tulisan Jawi. Paksi kalung Darjah tertera nama Nabi Muhammad S.A.W diukir dari kiri dan kanan dalam tulisan Jawi, disilangi dengan Cogan Agama di kanan dan Cogan Alam di kiri yang diapit ukiran daun gambir dan lada hitam. Di bahagian atasnya terukir lambang Mahkota dan di bawahnya tertera seru Darjah bertulisan Jawi “Tawakal Kepada Allah”.

SMIJ-1

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi
Pangkat Pertama Dato’ Seri Mulia Sultan Ibrahim Johor (SMIJ)

Selain itu, bintang besar (breast badge) yang berukuran 80 mm, diperbuat daripada emas dengan tujuh pecahan  berbentuk gelombang api serta lambang bulan dan bintang diperbuat daripada perak di antara pecahan itu. Di bahagian tengah diukir symbol ‘SI’ di atasnya lambang Mahkota yang disimpul oleh tali pinggang diperbuat menggunakan enamel berwarna biru dan bahagian mukanya ditulis seru Darjah bertulisan jawi “Tawakal Kepada Allah”.

Bintang kecil (sash badge) diperbuat daripada emas mempunyai tujuh pecahan berbentuk gelombang api serta lambang bulan dan bintang diperbuat daripada perak di antara pecahan itu berukuran 60 mm diameter.  Kain selempangnya berwarna biru berjalur putih dan kuning ditengahnya.

Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ)  rekabentuknya serupa dengan bintang besar Pangkat Pertama tetapi  diperbuat daripada perak dengan lima pecahan  berbentuk gelombang api serta lambang bulan dan bintang diperbuat daripada emas di antara pecahan itu serta satu bintang kecil (neck badge) berukuran 60 mm diameter dan kain berwarna biru berjalur putih dan kuning di tengahnya yang berukuran 50 mm lebar.

SMIJ-2

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi
Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ)

Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ) diperbuat daripada perak, rebentuknya serupa dengan bintang besar Pangkat Kedua tetapi tidak terdapat bulan dan bintang. Terdapat pita (breast ribbon) berjalur biru, putih dan kuning ditengahnya dan berukuran selebar 38 mm.

SMIJ-3

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi
Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ)

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama dan Pangkat Kedua membawa gelaran Dato’ dan Datin Paduka untuk perempuan. Manakala Pangkat Ketiga tiada membawa apa-apa gelaran.

PINGAT SULTAN IBRAHIM JOHOR (PSI)

Dizahirkan pada 30 Mac 2015 bersamaan 9 Jamadilakhir 1436 Hijrah, Pingat ini dizahirkan dalam tiga pangkat iaitu :-

  1. Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Pertama (PSI I) diperbuat daripada emas,
  2. Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II) diperbuat daripada perak,
  3. Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III) diperbuat daripada gangsa.

Ketiga-tiga pingat mempunyai rekabentuk yang sama berdiameter 35mm. Pandangan hadapan pingat terdapat imej DYMM Sultan Ibrahim Sultan Johor. Dibahagian belakangnya terdapat imej tandatangan, tahun 2015 dan tertulis nama Sultan Ibrahim II Johor serta terdapat imej Mahkota Johor di atas tandangan. Terdapat pita (breast ribbon) berjalur biru, putih dan merah ditengahnya dan berukuran selebar 32 mm.

PSIJ-1

Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Pertama (PSI I)

PSIJ-2

Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Kedua (PSI II)

PSIJ-3

Pingat Sultan Ibrahim Johor Pangkat Ketiga (PSI III)