Mahkota Kerajaan & Mahkota Permaisuri
Mahkota Kerajaan diperbuat daripada logam yang berharga bertatahkan dengan batu permata yang berbeza ukuran dan bentuk, antaranya enam biji berlian besar, tiga biji batu delima merah, empat batu zamrud besar, dan empat biji batu nilam biru besar. Balang mahkota sahaja mengandungi 1450 biji berlian kecil. Bulan dan bintang bersalut dengan berpuluh berlian kecil yang bergemelapan. Di ilhamkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar. Di buat pada tahun 1886 oleh syarikat J.W Benson, London.
Mahkota Permaisuri (Diadem) iaitu kecil sedikit dari Mahkota Kerajaan untuk digunakan oleh suri baginda. Dalam tahun 1925 Sultan Ibrahim berkenanan mengubah dan memperbaiki Mahkota Permaisuri dengan mengadakan lima biji berlian besar, setiap satu 18 karat. Baginda menambah kepada regalia itu dengan mengadakan seutas rantai atau kalung yang mengandungi 671 butir berlian dan sebuah tiara diperbuat daripada emas putih bertatahkan berlian.
Mahkota Kerajaan dan Mahkota Permaisuri digunakan dalam dua istiadat sahaja dengan titah perkenan raja iaitu:
- Dalam istiadat kemahkotaan di mana Mufti meletakkan mahkota di hulu (kepala) sultan dan sultanah dengan bacaan selawat Nabi dan diikuti dengan doa.
- Mahkota diletakkan oleh bakal raja di atas keranda diraja semasa majlis penghormatan terakhir sebelum pemakaman.
Mahkota disimpan sebaik sahaja majlis tamat.